Monday, February 15, 2010

Kerana Di Situlah Keindahan Hidup

13 Februari 2010 pada 7:59 am (Tarbiyah)
Tags: Allah, MANUSIA, RESAH, tadbir, takdir, TENANG, Tuhan
Sumber: http://genta-rasa.com/2010/02/13/kerana-di-situlah-keindahan-hidup/#more-807

Sering saya ungkapkan takdir sentiasa mengatasi tadbir. Justeru takdir itu daripada Allah Yang Maha Perkasa manakala tadbir daripada manusia yang lemah tidak berdaya. Namun itu bukan bererti kita lemah dan pasrah… jadi “Jabariah” dalam hidup itu. Atau mengaku super hingga terjebak dalam “Qadariah” ketika merasakan diri bebas daripada ikatan Allah. Kita umat pertengahan – ahli sunnah yang gigih mengatur sebaik tadbir, sekali gus menghulur setulus doa untuk dikurniakan Allah sebaik takdir!

Sejak awal tahun lagi saya ditakdirkan banyak bersama remaja. Daripada anak-anak sendiri, mahasiswa IPTA dan IPTS , ekskutif, usahawan sehinggalah pengacara TV. Banyak yang saya sampaikan dan banyak juga yang saya belajar. Saya bersyukur kerana jiwa jadi lebih dinamik dan bertenaga ketika diterjah oleh pelbagai persoalan oleh mereka. Antara soalan yang kerap ditanyakan ialah apa yang hendak kita lakukan apabila ada sahaja yang tidak kena dalam hidup ini…

Untuk anak-anak, adik-adik, remaja dan “retua” juga saya hadiahkan tulisan ini:… KERANA DI SITULAH KEINDAHAN HIDUP!

Ada ketika-ketikanya, kita terasa apa yang dibuatnya serba tidak kena. Pada hari, minggu atau bulan yang malang itu, kecelakaan seolah-olah datang timpa menimpa. Bagun Subuh lewat, baca Quran luput, solat resah, dimarahi oleh bos, duit gaji lambat, bergaduh dengan kawan, tayar motosikal meletup dan macam-macam lagi. Jadi, kalau demikian halnya, apa yang sebenarnya tidak kena? Dan bagaimana hendak membetulkan keadaan? Hendak bermula dari mana? Wah, pening kepala dibuatnya.

Mungkin anda juga pernah mengalami situasi begini, dan tentu sahaja kita tercari-cari panduan bagaimana hendak membetulkan semula semua keadaan yang bercelaru itu? Dalam apa jua keadaan, remaja hendaklah faham bahawa bila keadaan tidak seperti yang diingini, langkah kita bukanlah mengubah keadaan itu tetapi terlebih dahulu mengubah diri kita sendiri. Ramai orang tersilap, justeru mereka hendak mengubah keadaan luaran sebelum mengubah diri sendiri. Sunahtullahnya tidak begitu.

Dalam apa jua kondisi, mengubah diri itu perlu diutamakan kerana itulah yang akan mengubah keadaan yang kita hadapi. Jadi, apabila berdepan dengan masalah kewangan, dimarah ayah-ibu, tayar motor yang meletup, bergaduh dengan kawan-kawan… hendaklah diingat, ubahlah diri kita sebelum cuba mengubah perkara-perkara yang di luar diri kita. Pertama, remaja perlulah memahami bahawa kehidupan ini disusun dengan satu peraturan yang sangat rapi dan saling berkait rapat antara satu sama lain. Peraturan ini dinamakan Sunnatullah. Barat menamakannya ‘law of nature’. Hukum Sunnatullah ini juga dikenali sebagai ‘cause and effect’ (sebab dan akibat). Hukum ini bukan sahaja berlaku dalam bidang fizik, biologi, ekonomi dan lain-lain.

Malah ia juga berlaku dalam putaran kehidupan. Allah swt telah mengaturkan bahawa setiap akibat yang berlaku mesti mempunyai sebab atau punca. Jika seseorang itu bersedih, tentu terdapat sebab-sebab yang menyebabkan dia bersedih. Jika dia gembira, tentu terdapat sebab-sebab yang menyebabkan kegembiraan itu. Oleh itu jika kita dapati kehidupan kita seperti serba tidak kena, maka hendaklah kita akui bahawa mesti terdapat sesuatu sebab yang menyebabkan keadaan yang serba tidak kena itu. Sebelum mencari di mana penyebabnya, kita hendaklah terlebih dahulu mengakui akan ujudnya penyebab itu.

Tidak mungkin kita akan menemui sesuatu yang kita cari jika kita menafikan akan kewujudannya. Jadi, langkah awal mengubat sesuatu yang tidak kena ini ialah membuang sikap ego. Maksud ego di sini ialah kita mengatakan atau menganggap tiada ‘penyebab-penyebab’ pada keadaan yang serba tidak kena itu. Ramai antara kita yang merasa ego, dengan berkata, “entahlah… saya tidak tahu apa yang tidak kena lagi, semuanya sudah saya lakukan, tapi gagal juga. Dah nasib…” Atau ada yang berkata, “ tak mungkin jadi begini, semuanya sudah ok sejak mula, tiba-tiba sahaja jadi begini?”

Cakap-cakap yang seumpama ini sungguhpun biasa kita dengar namun, jika diteliti ia jelas bermaksud yang penuturnya seolah-olah tidak mahu mengakui ada kesalahan yang menyebabkan sesuatu yang negatif berlaku. Ada juga orang yang mengakui adanya penyebab-penyebab tertentu tetapi penyebab itu adalah orang lain. Bukan dirinya. Ini juga satu petanda ego. “Saya tidak salah, yang salah bapa saya, kawan saya, motor saya…” Ketahuilah, sikap reaktif ini tidak akan menyelesaikan masalah. Bahkan akan menambah masalah. Apa yang perlu kita cari ialah kesalahan diri kita sendiri.

Kita tidak boleh terus menyalahkan orang lain di atas apa yang menimpa kita. Hidup kita adalah tanggung jawab kita justeru apa yang berlaku dalam kehidupan adalah pilihan kita sebenarnya. Orang boleh menimpakan sesuatu ke atas kita, hanya apabila kita ‘mengizinkan’ ia berlaku. Yang menyebabkan kita susah hati, bukan kemarahan teman-teman, tetapi apabila kita mengizinkan kemarahan teman itu menyusahkan diri kita. Secara pro-aktif, kita boleh memilih respon kita pada sebarang situasi dalam hidup… Bila dimarahi, kita boleh memilih untuk sabar dan berdiam diri, atau marah dan bertindak-balas… terpulang!

Kitalah yang menjadi penyebab utama kepada berlakunya sesuatu akibat. Kita perlu mengetahui, mengetahui dan mencari kesalahan itu dalam diri sendiri. Oleh itu, bila ditimpa masalah maka muhasabah tentang perlakuan kita di semua dimensi. Dimensi hubungan kita dengan Tuhan, manusia, pekerjaan, kewangan, kesihatan, tanggung jawab dan peranan yang telah diamanahkan bagi kita melaksanakannya. Telitilah terlebih dahulu soal-soal besar dalam hidup kita tetapi jangan lupa… soal-soal kecil juga kadangkala memberi impak besar untuk menyumbangkan sesuatu yang tidak kena dalam kehidupan.

Sekali lagi diingatkan, dalam mencari penyebab-penyebab atau punca-punca masalah, kita jangan hanya bertumpu mencari penyebab-penyebab yang besar. Sebaliknya carilah penyebab-penyebab yang kecil-kecil. Kita boleh umpamakan diri sebagai seseorang yang sedang berjalan. Jarang orang terjatuh akibat terlanggar batu-batu besar. Sebaliknya ramai yang terjatuh apabila terpijak batu-batu kecil, kulit pisang dan sebagainya. Penyebab-penyebab yang kecil sebenarnya boleh memberi ‘impak’ atau kesan yang beransur-ansur.

Kita mungkin tidak nampak atau tidak perasan pada awalnya, tetapi secara tiba-tiba sahaja keadaan sudah menjadi buruk. Ingatlah, menyelesaikan masalah harus dilakukan persis bagaimana ia bermula. Contohnya, berat badan kita tidak menambah 10 kilogram dalam jangka masa sehari dua. Tetapi ia bertambah sedikit demi sedikit. Maka, untuk mengatasi masalah berat badan itu, tindakan untuk mengurangkannya pun mesti dilakukan secara beransur-ansur.

Adalah mustahil untuk mengubahnya secara mendadak. Sesuatu yang runtuh secara beransur-ansur perlu dibina secara beransur-ansur juga. Barulah tindakan kita nanti akan berhasil. Misalnya kita menghadapi masalah bajet yang tersasar daripada apa yang ditetapkan. Kita perlu sedar bahawa kebiasaannya ‘terlebih bajet’ ini bukanlah disebabkan ‘kebocoran’ perbelanjaan yang besar-besar.

Sebaliknya ia berpunca daripada sikap tidak mengambil berat perbelanjaan yang kecil-kecil – yakni wang yang kita keluarkan untuk membeli barang-barang yang tidak perlu tetapi murah harganya secara tidak menentu masanya. Perbuatan inilah yang sebenarnya memberi kesan besar yang buruk kepada bajet kita. Tawaran harga murah pada sesuatu barang menyebabkan kita mula hilang pertimbangan dan mula membeli bukan atas dasar keperluan, tetapi sebab murahnya barangan itu.

Begitu juga buat remaja yang menghadapi masalah kegemukan. Kegemukan tidak pernah berlaku secara drastik. Ia berlaku secara beransur-ansur hingga ke satu tahap, barulah kita terkesan bahawa berat badan kita sudah ‘over’. Jangan cuba mengubahnya secara mendadak. Kita pun mula bersenam secara ‘maraton’, menjalani skim diet yang terlalu ketat dan macam-macam lagi tindakan yang agresif dan ekstrem. Apa jadi akhirnya? Kita kecewa, kita mengalah dan akhirnya berputus asa bila melihat kesannya tidak seberapa.

Ya, segalanya perlu diubah secara perlahan-lahan, misalnya dengan mengubah cara pengambilan makanan, menukar kepada menu yang sihat dan bersenam secara ringan tetapi konsisten. Jangan sekali-kali membiarkan perut kosong pada jangka waktu yang lama, ini akan menyebabkan kita mudah mendapat penyakit ulser atau gastrik pula. Oleh itu, bertindaklah secara bijak dan beransur-ansur. Ini lebih ringan dan realistik untuk mengubah keadaan! Seperkara lagi ketika hendak memulakan sesuatu proses perubahan, jangan sesekali kita memikirkan kesempurnaan.

Kelak, kita mungkin tidak akan memulakannya langsung. Oleh itu, bermulalah dengan membuat perkara-perkara yang kecil dahulu. Untuk memperbaharui penampilan diri misalnya, janganlah diharapkan wajah, bentuk dan gaya anda seperti bintang filem dalam masa yang singkat. Anda akan kecewa jika mengimpikan kesempurnaan yang semacam itu. Sebaliknya, buatlah yang terbaik pada skala diri anda sendiri. Jangan bandingkan kita dengan orang lain secara tidak sihat.

Cuba bayangkan penampilan diri sendiri yang paling bergaya, cantik dan menarik – jadilah anda yang terbaik. Itu pun secara beransur-ansur. Jangan mengharapkan kesempurnaan, kerana ini akan membantutkan semangat anda untuk menangani masalah penampilan diri itu. Elakkan daripada cepat berputus asa dan hendak melihat hasil yang segera. Jangan naik anak-tangga secara berlari. Ada kalanya perubahan yang kita telah berbuat itu sudah pun menunjukkan kesannya, cuma ia belum kelihatan.

Konsep ini sama seperti ketika kita hendak mencairkan air batu dengan cara memanaskannya. Menurut hukum fizik, sekiranya mula memanaskannya, molekul-molekul air itu sudah pun bergerak. Tapi sedikit demi sedikit. Pada mulanya ia seakan-akan tidak ada tindak balas tetapi lama kelamaan, air batu tiba-tiba terus retak dan mula mencair. Ya, barulah kesannya nampak, walaupun sejak mula memanaskannya tadi, sebenarnya itu telah pun memberi kesan, cuma tidak nampak…

Ingat, sikap hendak melihat kesan yang cepat menyebabkan kita mudah kecewa dan patah semangat di sekerat jalan. Akhirnya, kita perlu sedar, hidup ini bagaikan satu siri gelombang yang datang secara bergilir-gilir. Ada ketikanya, gelombang kecil dan tenang dan ada ketikanya gelombang itu besar dan ganas. Pada ketika gelombang itu ganaslah, semuanya terasa serba tidak kena. Tuhan menetapkan bahawa setiap manusia itu tidak akan mendapat kesenangan sahaja atau kesusahan sahaja. Masing-masing daripada kita akan mengalami pasang-surut dalam hidup – ada masa senang, ada masa susah.

Justeru dalam kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu gembira kerana selepas kegembiraan itu mungkin muncul kesusahan. Begitu juga kita tidak boleh terlalu sedih bila kesusahan kerana mungkin selepas itu Allah swt datangkan perkara-perkara yang menggembirakan. Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini akan memberi ketenangan dalam hidup.

Apabila kita ditimpa kesusahan, rasakan dalam hari… ya, selepas ini akan datang kesenangan. Sabarlah sebentar. Dan apabila datang kesedaran, kita tetap tidak alpa… ya, selepas ini akan datang kesusahan. Bersiap-sedialah. Hakikatnya, tidak ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia ini. Kehidupan adalah satu perubahan yang berterusan…

Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan itu tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu. Fahamilah hakikat ini. Bila yang dibuat ‘serba tidak kena’ itulah hakikatnya satu kehidupan. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah. Hidup tidak selalu indah, justeru di situlah keindahan hidup!

Saturday, February 06, 2010

Jiwa yang beruntung

Tadi, gi jalan-jalan, jumpe mamat ni, muke sebijik cam Ustaz Asri. Adey, tapi bukan dia la, memang orang lain. Huks.

Banyak menulis kebelakangan ni, tapi last-last simpan sendiri jek. Rasa macam tak sesuai nak publish. Mungkin di masa-masa depan.

Rasa macam dah ok. Rasa dah sembuh dari sesuatu. Sembuh dari perasaan marah mungkin. Tak tau la kalau ditrigger lagik, atau mentrigger jadinya camna. Setakat ini ia stabil. Marah itu perasaan yang bahaya. Jika kita terlalu cepat marah, kita orang yang lemah. Itu hakikat. Dan, jika perkara atau peristiwa tuh dah berlalu, bila kita recall, kita rasa lagik marah yang sama, sakit kat dada, jantung gerak cepat, nafas laju, muka jadi merah..itu lagik bahaya. Klau ikut kajian psycology, marah itu hanya 4 minit. Jika berlanjutan hingga ke seterusnya, 1 jam, 3 jam, 2 minggu, atau 2 tahun, ia sudah mencapai perasaan dendam. Sangat bahaya kepada jiwa.

I'm shock too, how I can react like that, ia bahaya kepada diri ini, kerana Allah dah sediakan tempoh yang panjang, untuk aku berlatih mengawal marah dan bersabar dalam berdepan dengan sesuatu situasi. Ia mampu dikawal selama ini. I've never been in that state for years rasanya. Namun yang baru lepas ni, I feel sad, sedih dengan perilaku sendiri. Sebab, aku membuka jalan yang besar dengan membiarkan diri dengan perasaan itu.

Sakit bila recall. Sakit sangat. Sampai bergetar rasanya. Sakit sangat kat dada sampai leh rasa tajam dia. Ya Allah, menyucuk. Syukurla semua tuh dah hilang. Rasa lebih tenang sekarang. Taknak rasa marah camtuh. Bila marah camtuh, bukan senang untuk berhadapan dengan situasi-situasi lain, akan cepat nak marah nanti. Even lepas tuh, untuk berdepan dengan situasi-situasi lain, dok tahan je marah. Tahan marah tuh berbeza dengan sabar. Tahan marah tuh penat. Sabar tuh nikmat.

Skang dah ok. Cuma meneliti kembali, kenapa boleh marah sampai macam tuh. Marah sampai berlanjutan berminggu-minggu sakit dia. Its not me. I dont want that version of me. Owh. Ya Allah maafkan aku.

Lebih kepada rasa dihukum rasanya. Dihukum kerana kesalahan, my heart something wrong. Jika itulah yang terjadi. Memang jelas, hati ini tidak mengingat Allah. Memang jelas, hati ini tidak meletakkan Allah sebagai pengantara dalam menyelesaikan sesuatu peristiwa. Itu yang aku kesalkan.

Byk bermeditasi kebelakangan ni dan menenangkan fikiran. Hanya melalui. Melalui terus. Banyak juga membaca tentang takdir dan memahaminya.

Ingat haritu aku cakap ngan Aman, naper rasa susah sangat kebelakangan ni, I mean perasaan dalam melalui sesuatu tu. Apa Allah dah tinggal aku ker? Dulu, aku berhijrah kepada lebih baik, seolah-olah segala-galanya dipermudahkan, mudah untuk aku lalui.Mudah untuk aku dapat sesuatu. Macam Allah bukak jalan.Tapi skang? Rasa segalanya tak menjadi. Seriously sometimes I feel that. Ker aku yang tak bersyukur?

Jawapan Aman pada aku. Mudah je. Itu ujiannya. Aku pun rasa macam tuh kata dia. Tapi takper, rasa diuji. Dulu, bila kita berhijrah, rasa Allah tolong banyak kan? Tapi skang, Allah nak uji pulak, jika kita tak dapat sesuatu, jika kita tak rasa mudah nak lalui sesuatu, Allah nak uji, samada kita akan terus tetap percaya atau putus asa pada Dia. Ang percayala, ini ujian Allah buat kita.

Jika ini ujian yang perlu dilalui Ya Allah. Apa lagi jawapan kami, selain terus menghadapi apa saja yang merintangi. Takdir tetap akan berlaku, sabar atau tidak. Ia terus berlaku lalu berlalu. Namun bagi mereka yang melalui setiap takdir yang tidak menepati perancangan kita itu, dengan penuh kesabaran, kita masih berada dalam keberuntungan. Itu nasihat aku kepada diri sendiri. Jangan pernah biar diri rugi.

I recall. Rasanya dulu penah aku tulis, aku cam telah lama berada di bahagian pertahanan. Rasa nak kembali kepada role sebagai penyerang. Namun, skang, aku akan terus berada di bahagian pertahanan, selama mana Allah nak aku kat sini. Aku taknak lawan lagi apa yang Allah nak beri kat aku. Pasti ada hikmahnya.

Putus asa dari rahmat Allah? Tidak mungkin. This is my goal untuk berada dan terus berada sehingga saat aku meninggal dunia, dalam agama yang paling benar dan tiada tandingannya ini. Aku harap Allah pelihara aku dalam agama ini.

Agak lama masa yang aku ambil, untuk merasa rela di bahagian pertahanan ni. Relanya, setelah aku melihat semula kronologi diri. Semata-mata diri. Adakah ia lebih baik dari semalam? Pembaikan dari sudut mana lagi yang diperlukan sejak aku mula mengenal dan mencari Allah.

Diri kita tetap diri kita. Kita tak boleh bandingkan kehidupan kita dengan kehidupan orang lain. Setiap dari kita ada jalan cerita sendiri. Dan untuk mengenal pasti hikmah, duduk berdua dengan Allah, dan melihat serta merenung, apa yang Allah nak ajar kali ni. Lihat kembali, apa aku lebih baik dari dulu. Lihat dengan teliti, bagaimana di masa-masa lepas , ujian apa yang telah Allah sediakan pada kita dalam melatih kita untuk lebih dekat kepadaNya. Lihat kembali, berapa banyak masa yang telah Allah sediakan untuk kita terbiasa dengan suatu sikap yang baik itu? Setelah melihat kembali, ada sesetengah pembaikan, mengambil masa sehingga mencecah ke 3 hingga 4 tahun, untuk membiasakan diri dengan perkara tersebut. Nothings too fast.

Cuma, ada sesetengah pembaikan, yang seolah-olah kita yang merancangnya. Kita ingin berada dalam ujian tersebut. Maksudnya, Allah ilhamkan kita keinginan yang sesuai dengan takdir kita. Namun, ada kalanya, sesetengah perkara berlaku, di luar perancangan kita, sesuatu yang kita taknak sangat-sangat. Tetapi itulah ketetapan yang Allah dah tetapkan buat kita.

Berada dalam situasi yang kita inginkan, pastinya terasa lebih mudah, terasa dicabar, namun inilah cabaran yang aku inginkan. Seronok berada di dalamnya.

Namun berdepan dengan suatu ketetapan, yang jauh dari keinginan, pastilah ada sesak di dada ni. Ia jauh dari perancangan, jauh dari keinginan. Ujian perasaan tuh lebih tinggi. Keserabutan itu ada.

As for me, berada dalam situasi yang diinginkan, walaupun penuh cabaran, ia mudah, kerana kita meneruskan tindakan, teruskan tindakan. Namun berada di dalam situasi yang tidak diinginkan, kita perlu lebih banyak bertenang, berdoa, meminta kekuatan untuk mendapat perancangan dan tindakan yang tepat. Ia bukan saja memohon kekuatan untuk tindakan, namun memohon kekuatan untuk perancangan. Tak jadi diolah dan diolah lagi. Ia lebih menekan.

Namun inilah yang dinamakan kehidupan. I can be calm enough, dengan izin Allah jua, aku melihat apa yang Allah nak ajar aku kali ini. Dunia ini suatu permainan kan. Kita layak diuji dengan apa saja yang Allah nak uji kita. Kita boleh jatuh tersungkur dari tangga paling atas. Namun jangan pernah quit dari rahmat Allah. Dunia ini adalah satu perlumbaan. Teruskan perjalanan. Hanya ada 2 jalan. If u quit from Allah, u friend from hell will welcome u then.

Terus teguh di jalanNya.

Allah ada.Allah Melihat. In this condition, ada sudut ini. Ada sudut itu. Sana sini, semuanya perlu diuruskan. Kadangkala, sudut ini kita rasa hukuman. Hukuman atau hikmah? Berbolak balik rasanya untuk menguruskan sudut-sudut kehidupan ni. Namun aku perlu tetap bertenang. Untuk melihat hikmah saja, kadangkala mengambil masa. Masa berlalu, dan kehidupan perlu diteruskan. Bagaimana jika belum dapat melihat hikmah? Keserabutan itu wujud. Kerna aku perlu Allah, dan perlu hikmah itu untuk aku teruskan perjalanan.

Di sinilah terujinya keimanan kita kepada Allah. Allah yang Maha segala-galanya.

I've been in dental treatment, dalam 3 bulan rasanya. Pegi sana 2 kali seminggu. I know nothing about dental. Risau jugak ni gigi aku tau. Namun, aku cakap kat diri aku, walaupun derank ni student, they have been studied kat dental hospital ni, for 4 years. Derank dah belajar, so have faith dengan kepakaran mereka. Untuk menjayakan sesuatu, both kene ada keyakinan yang kuat. This is their field. Percaya. Everything will be alright.

Dalam masa dok pegi tuh, aku salu ty apa derank wat sebenarnya kat gigi-gi aku ni, kita belajar dari derank jugak la, tahu jugak terms dental sikit, pastu alat-alat, macam-macam jugakla bleh tau kalau rajin nak bersembang. Alhamdulillah, semuanya ok.

Skalik tuh aku dok merenung, dalam keta. Aku pecaya ja kat depa ni. Serah bulat-bulat sebab keyakinan aku dengan kepakaran depa. Aku serah gigi ni. Sebab ini bidang mereka. Aku ty diri aku balik, Allah tuh kepakarannya apa Jie? Ia pakar dalam bidang apa?

Aku sambung renunangan itu, katakanlan aku ada kawan, yang tahu semua benda. Nak penyelesaian pasal apa? Astronomi, psycology, perubatan, computer, sumer tahu. Dan, kawan aku ni jugak, kaya orangnya, lagi dermawan. Lepas tuh, baik pulak, semua sifat terpuji ada kat dia. Apa aku percaya tak kat dia untuk ceritakan semua masalah aku? Pasti pecaya. Dalam banyak-banyak kawan, aku nak pilih sapa untuk mintak penyelesaian? Kalau ada kawan camni, pasti dia. Apa aku yakin dengan penyelesaian dia? Sudah pasti! 100%. Dia tak pernah salah, paling tepat, paling bijak, paling pemurah, segala jenis kebijaksanaan dan kebaikan ada pada dia. Sungguh aku serahkan saja segala-galanya pada dia.

Siapa yang paling serupa imaginasi itu?
Sesungguhnya Allah lebih hebat dari imaginasi itu.

Apa yang manusia-manusia sekeling kita ni tahu jie? Sedang bumi dulu disangka ada hujungnya. Sedangkan bumi itu bulat. Manusia-manusia ini masih jauh tidak mengetahui tentang rahsia sebenar bulan, namun Allah pasti tahu. Bulan, bintang, bumi, langit, kehidupan segalanya di bawah kekuasaan Dia!

Siapa paling tahu tentang kehidupan Jie? Sudah pasti Allah.
Siapa yang menciptakan Jie? Allah jua.
Siapa yang paling sayang Jie? Allah.

Allah tak pernah meninggalkan kita semua. Allah tahu setiap rincinya. Cuma, kali ini, berserah sepenuhnya kepada Allah. Suatu sikap yang jauh dari Jie. Yakin. Kadangkala, hikmah tuh tak dapat kita capai dan gapai dengan cepat. Namun, dalam berdepan dengan sesuatu situasi, pastikan ada tenang kerna keyakinan, yang Allah itu Maha segalanya. Tak pernah ada suatu perkara, yang Allah tetapkan, untuk membuat porak peranda dalam jiwa dan hidup kita. Tak perlu keyakinan dari orang lain. Hanya Allah.

Serahkan padaNya.

Mohon ilham dari Allah untuk perancangan dan tindakan yang tepat. Berserah tidak bermaksud tidak merancang. Merancang itu perlu. Merancang itu tetap sebahagian dari kehidupan. Bayangkan hidup, yang tiada arah, tiada cita-cita, dibiarkan lalu begitu saja, risau kita menjadi seseorang yang tidak menghargai masa. Namun tetap ingat, kita merancang, Allah yang menentukan. Hidup kita ini, jika berniat untuk satu kebaikan, sudah dapat pahalanya bukan? Berniat, dan merancanglah untuk yang lebih baik dan indah itu. Niatkan sebagai ibadah.

Namun insaflahhhh, hasilnya itu tetap milik Allah! Jangan terlampau bersedih jika hasilnya bukan seperti yang diinginkan. Jangan pula terlampau bangga, dengan kejayaan kita. Semuanya ujian disisiNya. Allah sudah lebih tahu, tentang segala itu.

Di suatu pagi, aku merenung bunga.

Bunga bougenvilla. Merah mekar.
Namun bunga di bawahnya, sudah layu. Tinggal masa untuk gugur. Dan kemudian mereput.

Kemudian aku menyuruh aku mendongak melihat matahari.
Cahayanya bagus sekali. Terang, sinar memancar, tak pernah lelah atau kurang setiap hari.
Seperti ada suara bertanya - Kemudian apa? Apa jadinya kepada matahari ini?
Jawabku, gelap. Suatu hari nanti, ia bakal gelap.

Bunga itu, walau segar tumbuhnya, bakal layu. Matahari itu, bila tiba masanya, bakal gelap. Pokok itu juga, tak mungkin lagi ada, kerana ia bakal hilang, dalam bumi yang sudah meranap. Segalanya hanya akan tinggal mendatar. Tiada lagi rumah ini, tiada lagi myV ku ini.

Suara itu datang lagi - Tubuhmu jadi apa?
Jawabku - Mereput, hancur luluh, menjadi tanah.

Ya. Seperti ia membuat konklusi - Segalanya akan hilang Jie. Hancur semuanya.

Suara itu bertanya lagi - Habis dari dirimu itu yang tinggalnya apa?

Berfikir sebentar.....

Jawabku - Jiwa. Yang tinggal hanya jiwa. Jiwa ini yang telah dari dulunya hidup bukan di dunia , kemudian, ia datang didunia untuk diuji. Dan seketika dunia ini dan semuanya tiada lagi, termasuk jasadku ini, yang tinggal hanya jiwa ini.

Ya jiwa itu. Jadi yang paling penting apa Jie?

Jawabku sekali lagi - Jiwa.

Kata orang, hidup seperti roda. Sebentar berasa berada di atas, sebentar berasa berada di bawah.

Atas atau bawah tidak terlalu penting kerna bukan kita yang mengawal roda. Kita melaluinya.

Yang penting, JIWA itu, saat berada di atas atau di bawah,

Perlu ia sentiasa mengingat Allah.


Bumikan hilang, jasadkan hancur. Yang ku bawa hanya jiwa. Biar ia tak mungkin sempurna, namun ia tetap menuju ke sana, Allah yang Maha Bijak dalam mengukurnya.

Berasa berada di atas, atau di bawah, tak pernah Allah letak suatu situasi, yang menghalang kita untuk terus beribadah padaNya.
Sedang itulah matlamat asal kita.

Monday, February 01, 2010

Serasikan takdir dan takdbir

27 Januari 2010 pada 9:28 pm (Kemudi Hati)
Tags: , , ,

Alhamdulillah, sepanjang pengendalikan blog gentarasa ini saya mendapat kerjasama yang baik daripada ramai sahabat-sahabat rapat. Daripada Ustaz Adib yang memulakannya, sehingga Ustaz Faisal yang begitu komited memberi input dan cadangan dari semasa ke semasa. Saya tidak sangka sama sekali, gentarasa sampai ke tahap ini. Walaupun pencapaian ini masih kecil, tetapi ia sudah terlalu besar buat saya. Syukur, medan dakwah semakin terbuka. Dan saya gembira untuk meneruskannya.

Mulanya, saya sekadar ingin berkongsi. Namun kini ia sudah menjadi satu tanggungjawab dan amanah. Pada sahabat-sahabat saya di Fitrah Perkasa dan Telaga Biru, saya sangat menghargai sokongan saudara-saudari. Dalam kesibukan menulis buku (oh ya… buku terbaru saya akan terbit, bercerita tentang mujahadah), mengendalikan program dan berceramah, syukur masih ada tenaga yang direzekikan Allah untuk saya memasukkan entri-entri baru dalam blog ini.

Ramai dan banyak yang telah saya temui dalam hidup ini. Syukur kerana Allah terus sudi menemukan saya pada ramai/banyak kebaikan berbanding keburukan. Ada yang kita sangka kaca tetapi permata, ada pula kaca walaupun pada awalnya kita sangka permata. Yang tidak serasi pergi, dengan ucapan semoga dia menemui yang lebih baik dari kita. Dan kita bersangka baik, yang terbaik untuk kita akan datang mengganti.

Dalam usia yang semakin ke hujung ini, apa yang kita harap ialah yang baik-baik sahaja. Tidak mahu kekecohan, inginkan ketenangan. Berpada-pada dengan apa yang ada tanpa merencatkan usaha untuk mendapat yang lebih berkat. Bersendirian… tidak kesunyian. Di tengah ramai… tidak pula kelelahan. Ada masa untuk tafakur di rumah Allah dengan zikir dan wirid yang istiqamah. Ada masa untuk keluarga dengan pelbagai karenah tetapi tetap sakinah. Konsisten keluar berdakwah dan mentarbiah dengan niat untuk memperbaiki diri sendiri. Dan mendapat rezeki yang secukupnya hingga boleh diagih-agihkan kepada orang lain yang memerlukan.

Satu pesanan yang sering menjadi ingatan: Bergembiralah membuat kebaikan tanpa diketahui oleh orang lain. Jauhilah dari riya’, sum’ah dan ujub. Sedikit amalan, dengan ikhlas lebih baik daripada banyak tetapi dicelahi oleh rasa sombong. Bila berjaya melakukan kebaikan, jangan memperkecilkan orang lain. Justeru, masih ada manusia yang tidak dikenali di bumi tetapi sangat tersohor di langit sana. Kebaikan jangan dianggap jasa, tetapi anggap sahaja penebus dosa.

Buat semua yang membaca… doakan aku, insan kerdil yang sering patah dalam mujahadah ini. Aku ingin segala-galanya indah, ceria dan tenang… namun siapalah aku? Kau, aku dan kita cuma seorang hamba. Pada kita ada tadbir. Tetapi pada Allah segala Takdir. Lalu usaha kita hanyalah… menserasikan tadbir mengikut Takdir!

Terimalah tulisan ini: SERASIKAN TADBIR DAN TAKDIR!

Takdir sentiasa mengatasi tadbir. Takdir daripada Allah, sedangkan tadbir hanya dari kita hamba-Nya. Kekadang takdir dan tadbir selari, maka terjadilah apa yang kita inginkan terjadi. Alhamdulillah.

Namun acapkali juga takdir dan tadbir bersalahan, bertentangan, maka terjadilah apa yang kita tidak inginkan terjadi. Kita ingin putih, hitam pula yang menjelma. Kita dambakan kejayaan, kegagalan pula yang menimpa. Ketika itu hati akan bertanya, apa lagi yang tidak kena?

Ketika itu hatipun merintih… semuanya telah kutadbirkan, tetapi kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah bunga-bunga ’pemberontakan’ dari dalam diri hamba yang kerdil berdepan dengan ketentuan Allah yang maha Perkasa. Samada di sedari atau tanpa disedari… kita menyalahkan segala – daripada diri sendiri, orang lain sehinggalah kepada Allah.

Takdir daripada Allah mengandungi banyak hikmah. Ia mengandungi mehnah (didikan langsung dari Allah) yang kekadang tersembunyi daripada pengamatan fikiran biasa. Ilmu semata-mata tanpa iman yang kuat, akan menyebabkan kita terkapa-kapa dalam ujian hidup tanpa pedoman yang tepat.

Justeru dengan akal semata-mata kita tidak akan dapat meringankan perasaan pada perkara-perkara yang tidak sejalan dengan diri dan kehendak kita. Mengapa terjadi begini? Sedangkan aku telah berusaha?

Untuk mengelakkan hal itu terjadi maka kita mesti berusaha mencari-cari hikmah-hikmah yang terkandung dalam ketentuan (takdir) Tuhan. Ya, hanya manusia yang sempurna akal (ilmu) dan hati (iman) sahaja dapat menjangkau hikmah yang terkandung di dalam cubaan dan bala yang menimpa duirinyanya. Kata orang, hanya jauhari mengenal manikam.

Orang yang begini akan menjangkau hikmah di sebalik takdir. Dapat melihat sesuatu yang lebih tersirat di sebalik yang tersurat. Ya, mereka tidak akan beranggapan bahawa sifat lemah-lembut Allah luput daripada segala takdir-Nya – samada yang kelihatan positif atau negatif pada pandangan manusia.

Ertinya, mereka merasai bahawa apa jua takdir Allah adalah bermaksud baik. Jika sebaliknya, mereka merasakan bahawa Tuhan bermasud jahat dalam takdir-Nya, maka itu petanda penglihatan hati tidak jauh, dan akalnya pendek.

Mengapa terjadi demikian? Sebab iman belum mantap, keyakinan masih lemah dan tidak kenal Allah dalam ertikata yang sebenarnya. Bila ketiga-tiga faktor itu sempurna, maka barulah sesorang itu mampu melihat bahawa di dalam cubaan dan bala yang ditakdirkan mengandungi hikmah-hikmah yang baik. Hanya dengan itu, seseorang itu akan merasa senang dan bahagia dalam menghadapi sebarang ujian dalam hidupnya.

Bagaimana kita dapat meringankan beban hati ketika menghadapi ujian hidup? Ya, hanya pertalian hati seorang hamba dengan Allah sahaja yang menyebakan ringannya ujian dan cubaan. Hati yang disinar dengan cahaya Allah dan cahaya sifat-sifat-Nya akan berhubung dengan Allah. Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.

Bila kita kenal Allah Maha Pengasih dan Penyayang, kita tak boleh buruk sangka kepada Allah dengan menganggap apa yang ditakdirkan (ujian) itu adalah sesuatu yang tidak baik. Iktikad (yakin) kita semua ketentuan Allah itu adalah baik – ujian itu pasti ada muslihat yang tersembunyi untuk manusia, akan menyebabkan hati terubat. Walaupun pahit, ditelan jua. Sematkan di hati bahawa pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik tapi kita tidak atau belum mengetahuinya. Bila terjadi nanti, barulah kita tahu.

Katalah kita ditimpa penyakit atau kegagalan… itu mungkin pada hakikatnya baik pada suatu waktu nanti. Betapa ramai, mereka yang sakit, tetapi akhirnya mendapat pengajaran yang besar di sebalik kesakitannya. Contohnya, apa yang berlaku kepada Cat Steven… yang sakitnya itulah yang menyebabkan beliau mendapat hidayah dan akhirnya memeluk Islam?

Dan betapa ramai pula yang gagal pada mulanya tetapi dengan kegagalan itu bangkit jiwa juang yang lebih kental yang akhirnya membuah kejayaan? Hingga dengan itu masyhurlah kata-kata bahawa kegagalan itu hakikatnya adalah kejayaan yang ditangguhkan!

Para ahli hikmah (bijaksana) merumuskan bahawa, antara hikmah ujian ialah, hati akan lebih tumpuan kepada Allah. Dengan ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan penghadapannya kepada Allah. Sebab bala dan ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan dan syahwat manusia, seperti sakit, rugi, miskin dan lain-lain.

Dengan ini nafsu akan terdesak, tidak senang dan ingin lepas daripada ujian. Bila nafsu terdesak, ia akan terdidik secara langsung. Ia akan tertekan dan menjadi jinak. Hakikat ini akan membuka pintu rahmat Allah kerana nafsu yang liar sangat mengajak kepada kejahatan. Bila nafsu hilang kekuatannya maka manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa dan maksiat dengan mudah.

Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana yakin Qada dan Qadar Allah pasti berlaku. kerana manusia harus terima, tidak boleh menolak ujian itu. Hamba yang soleh menanggung Qadar dengan sabar (bahkan) gembira dengan pilihan Allah. (Ujian adalah pilihan Allah bukan pilihan manusia). Tidak ada pilihan Allah yang tidak baik. Semuanya baik belaka.

Hakikat ini akan menyebabkan kita akan lebih mendekat kepada agama. Hikmah ini walaupun sebesar atom tetapi bila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Justeru, bila hati baik semua anggota badan menjadi baik. Inilah yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya:
“…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” Surah Al Baqarah : 216

Sesungguhnya, dalam ujian Allah terselit nikmat-Nya. Mungkin kita tertanya-tanya apakah nikmatnya bila sakit, miskin, gagal, dihina dan sebagainya? Hendaklah kita faham bahawa nikmat di sisi Allah itu terbahagi dua. Pertama, nikmat lahir. Dan kedua, nikmat batin (rohaniah). Nikmat lahiriah ialah sihat, selamat dan kebaikan fizikal yang lain. Manakala nikmat batiniah ialah nilai-nilai keimanan, keyakinan dan kesabaran. Dengan ujian kesusahan misalnya, barulah terbina sifat sabar. Dan sabar itu adalah separuh daripada keimanan.


Ujian juga akan menghapuskan dosa dan kesalahan seseorang terhadap Allah. Nabi Isa pernah berkata, ”belum dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya.” Bila kita benci dengan ujian, ertinya belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dosa kita. Bila kita gembira (terima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga adalah Allah.

Jadi, apabila kita ditimpa ujian maka berusaha dan berikhtiarlah untuk menangani ujian itu tetapi jangan sesekali lupa mencungkil hikmahnya. Oleh yang demikian, apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Ingatlah, bahawa orang soleh itu bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.

Jangan sesekali kita menjadi orang yang rugi yakni mereka yang buta daripada melihat hikmah justeru akal dan hati hanya melihat sesuatu yang selari dengan hawa nafsunya sahaja. Ingatan para hamba yang soleh kepada Allah akan bertambah dengan ujian-ujianNya. Mereka merasakan ujian itu satu petanda yang Allah telah memilih mereka.

Mereka sentiasa berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) bahawa setiap yang berlaku samada pahit atau manis pasti ada hikmahnya. Mereka tidak melihat hanya ’asbab’ (sebab-sebab) tetapi mata hati mereka dapat menjangkau ’musabbabil asbab’ (Penyebab – Tuhan).

Hati mereka berkata:
”Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk ku. Aku akan terus berbaik sangka kepada Allah… DIA akan mengubat, melapangkan dan memberi kemenangan di sebalik ujian ini. Ya, aku tidak tahu, kerana ilmu ku terbatas. Tetapi kerana Allah yang Maha Penyayang telah memilih ujian ini untuk diri ku maka aku yakin ilmu-Nya Maha luas. Yang pahit ini akan menjadi ubat. Yang pedih ini akan menjadi penawar. Ya, Allah tingkatkanlah iman ku bagi mendepani setiap ujian dari-Mu!”

http://genta-rasa.com/2010/01/27/serasikan-tadbir-dan-takdir/#more-762