Tuesday, August 03, 2010

Susah sebelum susah yang sebenarnya

Sy rasa susah hati...Bukan susah hati, tapi cam ada desakan yang suh susah hati...aper nih??

Artikel nih bagus untuk menasihati :

"Hati makin susah sebelum susah yang sebenarnya menimpa." <-- tanak dah hidup camnih :) Mari sucikan hati :

Bismillahirrahmaanirrahim

....sambungan

Sifat-Sifat Roh(Hati) - Bahagian iii

CONTOH SIFAT-SIFAT MAZMUMAH:
1. Rasa tidak senang (berdendam)
Benih-benih mazmumah rasa tidak senang atau tidak redha atau berdendam dapat
dikesan ada dalam hati di waktu kita diuji atau ditimpa bala. Sama ada
ujian-ujian itu berbentuk lahiriah atau maknawiah (batiniah).
Umpamanya:
a. Terasa tidak senang bila dikata nista, dihina, diumpat, difitnah. Hati rasa
marah, rasa dendam, rasa ingin hinakan orang itu semula. Ini sangat merbahaya.
Boleh mencetuskan pecah ukhwah, pecah belah, huru-hara dan pergaduhan dalam
masyarakat.
b. Terasa tidak senang atau menderita bila tidak ada duit, tidak ada pangkat
atau harta.
c. Terasa tidak senang bila diuji dengan sakit atau kematian orang yang
dikasihi.
d. Terasa tidak senang atau kecewa apabila orang-orang yang dikasihi membuat
ragam atau tidak bertanggungjawab.

Terasa tidak senang atau tidak redha dengan takdir Allah. Ini dapat dikesan
bila kehendak-kehendak atau hajat-hajat hati tidak tercapai. Katalah kita
hendak begian, dapat begian. Hendak banyak, dapat sikit. Hendak pandai, tidak
pandai-pandai juga. Hendak pangkat, jawatan, pujian tapi tidak dapat-dapat.
Barangkali kalau didorong sifat keji ini akan timbul bimbang terhadap masa
depan. Hati makin susah sebelum susah yang sebenarnya menimpa. Misalnya hati
merasa, "Bagaimana nanti kalau aku sakit? Bagaimana kalau aku miskin? Kalau aku
tak kahwin? Kalau aku tak dapat anak? Kalau aku tak ada rumah? Kalau tak ada
kebun selepas pencen? Dan macam-macam hajat yang tak tercapai."

Bila rasa tidak senang ini disuburkan, ia boleh membawa kepada iri hati atau
hasad dengki pada orang lain. Dia tidak akan senang melihat ada orang yang
dapat lebih nikmat atau lebih senang daripadanya. Setelah dikesan adanya rasa
tidak senang atau tidak redha dengan ketentuan Allah ini mestilah
dikikisbuangkan, ditumpas dan dicabut. Jika sifat-sifat ini tidak dibuang dan
dibendung sebaliknya disuburkan, ia akan jadi lebih parah lagi. Dia sentiasa
keluh-kesah atau gelisah bila berhadapan dengan sebarang ujian atau kesusahan.
Ia menjadi seorang yang pemarah, pendendam, tidak senang dan putus asa hingga
timbul akhlak-akhlak yang buruk atau perbuatan-perbuatan atau tindakan-tindakan
yang buruk yang merosakkan dirinya dan masyarakat. Maka hilanglah kebahagiaan
hidup. Sebab itu dalam Islam disuruh redha dengan ketentuan Allah. Sifat tidak
redha ini sangat dibenci Allah dan Rasul serta seluruh manusia. Untuk
membendungnya ingatlah perintah-perintah Allah SWT.
Firman-Nya dalam Al Quran:
Maksudnya: "Hendaklah kamu katakan semua itu datang daripada Allah." (An
Nisaa': 78)

Maksudnya: "Janganlah kamu berputus asa daripada nikmat Allah." (Yusuf: 87)

Ingatlah setiap perkara yang berlaku sama ada baik atau buruk, hakikatnya
daripada Allah. Ia ada hikmahnya yang tersendiri, yang tersembunyi, untuk
kebaikan dan manfaatnya pada diri kita kalau kita pandai menerimanya.
Sebenarnya ada rahsia yang kita tidak tahu. Mungkin kalau kita dapat apa yang
kita kehendaki, kita tidak bersyukur. Tentulah
ini berdosa. Boleh jadi ada orang lain pula yang hasad dengki dengan apa yang
kita dapat itu. Bukankah itu membahayakan diri kita? Kalau kita sedar hakikat
ini tentulah kita rasa bertuah dengan apa yang ada atau apa yang Allah berikan.
Walaupun tidak memenuhi hajat kita namun tidaklah sampai rasa tidak senang,
yang mana bererti kita tidak senang dengan Allah, Tuhan yang Maha Adil itu.
Bila rasa tidak senang ertinya kita kufur dengan nikmat. Itulah penzaliman
terhadap diri yang kita lakukan setiap saat. Oleh itu sifat keji ini hendaklah
dikikisbuangkan. Kalau tidak, ia akan menjadi dosa dan menerjunkan kita ke
Neraka, wal'iyazubillah.

2. Rasa ujub
Benih rasa ujub ini dapat dikesan bila kita dapat nikmat lebih sama ada lebih
ilmu, lebih pangkat, lebih harta, lebih cantik, lebih pandai, lebih bijak dan
lain-lain kelebihan lagi. Waktu itu hati terasa istimewa, terasa hairankan
diri. Bila didorong lagi sifat keji ini akan menjadi sifat riyak. Yakni timbul
rasa ingin menunjuk-nunjuk. Seterusnya bila disuburkan lagi berubah kepada
sifat keji yang lain pula iaitu sifat sombong. Yakni rasa bermegah-megah, rasa
diri superman atau superwoman, rasahebat diri dan suka menghina orang lain.
Sifat keji ini bila didapati wujud dalam hati, maka mestilah ditumpaskan dan
dikikisbuangkan melalui proses mujahadatunnafsi. Ini kerana sifat sombong atau
takabur atau membesarkan diri sangat dimurkai Allah. Yang mana ia merupakan
pakaian Allah SWT yang tidak dibolehkan bersekutu pada mana-mana makhluk-Nya.

Sombong ini boleh menimbulkan hilang ukhwah, hilang kasih sayang dan
benci-membenci. Akhirnya bergaduh dan timbul perpecahan, krisis, tegang dan
jatuh-menjatuhkan. Masyarakat jadi haru-biru dan porak-peranda serta hilang
kebahagiaan dan keamanan.

3. Rasa tamak atau bakhil
Benih rasa tamak ini dapat dikesan ada di hati bila kita melihat atau ternampak
nikmat. Waktu itu rasa hendak memiliki nikmat itu untuk jadi hak milik sendiri.
Iri hati kalau nikmat itu dipunyai oleh orang lain. Rasa tamak dan haloba
menyerang hati. Walau apa cara sekalipun dia akan usahakan untuk memilikinya
tanpa mengira halal atau haram. Rasa hati di waktu itu rakus, gelojoh dan
ganas. Dia tidak peduli sama ada menyusahkan orang lain atau tidak. Melanggar
hak asasi kemanusiaan atau tidak. Pokoknya dia dapat walau apa cara sekalipun.
Sifat keji ini tersangat merbahaya. Ia boleh bertindak merampas, menipu,
mencuri, merompak, rasuah, merogol, berzina, bergaduh dan akhirnya berperang.
Penyakit ini perlu ditumpaskan dari awal lagi.

Bila dikesan ada rasa tamak, ia hendaklah ditumpaskan dan dikikisbuangkan
melalui proses mujahadatunnafsi. Ia sangat dibenci dan menjadi musuh Allah dan
Rasul-Nya serta seluruh manusia. Kemudaratannya bukan setakat di dunia bahkan
di Akhirat akan dicampak ke Neraka, wal'iyazubillah.

4. Rasa takut
Benih rasa takut dapat dikesan wujud dalam hati bila berhadapan dengan makhluk
yang lebih berkuasa, lebih kaya, lebih berpangkat, lebih berpengaruh atau yang
berbudi padanya dan lain-lain lagi. Boleh jadi rasa takut ini juga disebabkan
oleh inferiority complex dengan makhluk. Bila takut menguasai diri, dia akan
hilang kebebasan dan kemerdekaan diri. Kalau disuburkan rasa takut ini, tanpa
sedar dia akan menganggap makhluk lebih berkuasa daripada Tuhan. Terjebak
dengan mentuhankan makhluk tanpa sedar. Ini termasuk syirik khafi. Sifat keji
ini tersangat merbahaya. Ia mengakibatkan orang ini sanggup melanggar syariat
Allah dan Rasul serta menafikan kuasa Allah. Walaupun mulutnya mengatakan
Allah-lah yang berkuasa tetapi pada realitinya makhluklah tempat dia rujuk,
patuhi, taati dan takuti.

Ertinya, dia sudah mentuhankan makhluk atau mentuhankan manusia. Contohnya, dia
sembahyang, puasa, naik haji tetapi tunduk dengan 'tuan'nya bila disuruh jual
atau beli atau minum arak. Katalah dia tidak minum arak, cuma jual atau beli
arak, tetapi kerana 'tuan'nya memberinya gaji, maka dia taat dan patuh. Walhal
dia tahu perbuatan ini jelas melanggar syariat Allah. Ertinya dia lebih
takutkan arahan manusia melebihi suruhan Allah SWT.

Oleh itu sifat keji ini hendaklah dihapus dan ditumpaskan daripada bersarang di
hati kita. Kalau perkara ini tidak dikaji dan diteliti, sudah tentu tidak
diketahui. Kikiskanlah dengan menanam rasa takut hanya pada Allah. Rasakanlah
Allah Maha Berkuasa, Maha Besar dan Allah-lah Maha Kuat dan Maha Gagah daripada
segala-galanya. Semua makhluk ini sama-sama lemah di sisi Tuhan yang Maha
Perkasa itu. Kalaupun makhluk itu kuat atau berkuasa, hanya kerana dia diberi
nikmat yang lebih sedikit saja daripada orang lain. Tetapi dia tetap lemah dan
tetap dalam kuasa Tuhan yang Maha Berkuasa. Allah telah mendidik kita agar
hanya pada-Nya kita wajib takut dan menghinakan diri. Ini kerana Allah-lah yang
Maha Mencipta, Maha Menganugerah, Maha Pemberi, Yang Menghidupkan dan Yang
Mematikan. Allah-lah yang mengadakandan mentiadakan sesuatu. Allah-lah yang
menentukan nasib makhluk. Allah-lah yang muassir (memberi bekas). Selain-Nya
semuanya tidak lebih gagah, tidak lebih besar dan tidak
memberi bekas apa-apa.

Walaupun makhluk itu lahirnya kita nampak besar dan hebat, gagah dan berkuasa
tapi hakikatnya semua makhluk itu tetap dalam genggaman Allah SWT. Hanya empat
sifat mazmumah saja yang kita kaji secara terperinci di sini, yang merupakan
sebahagian daripada sifatsifat mazmumah yang banyak itu. Perlu diingat juga
bahawa sifat-sifat yang jahat ini semuanya sudah wujud bersama lahirnya tubuh
kasar. Rasa-rasa itu tidak perlu dipelajari dan tidak ada guru yang
mengajarinya. Cuma waktu kecil ia tidak subur. Tetapi ia ikut dewasa bersama
dewasanya tubuh kasar. Oleh itu benih-benih sifat mazmumah dalam hati ini mesti
dikenal pasti di awal-awal lagi.

Dengan menggunakan teropong mata hati dengan dibantu oleh ilmunya, sifat-sifat
jahat ini mesti ditumpaskan dan dikikisbuangkan melalui proses mujahadatunnafsi
(yang akan kita bincangkan dalam bab akan datang). Barulah sifat mazmumah ini
dapat dikekang dan dikosongkan, yang akhirnya sifat mahmudah dapat diisi dalam
hati. Di sinilah pentingnya mengkaji dan mengesan sifat-sifat roh (hati).
Supaya setelah kedua-duanya dikesan, yang mahmudahnya dapat disuburkan dan yang
mazmumahnya dapat dihapuskan. Barulah manusia itu kembali kepada hakikat
dirinya. Yakni hakikat manusia itu sendiri. Ini kerana nilai diri manusia itu
adalah pada sifat roh (hati)nya. Ia jadi penentu yang mencorak kehidupannya dan
manusia seluruhnya. Roh ini dikekalkan untuk ditanya dan dipertanggungjawabkan
di Akhirat nanti. Roh inilah yang mukalaf. Ia yang akan merasai nikmat atau
azab. Roh inilah juga yang akan ke Syurga

Sekian

http://www.mail-archive.com/keluarga-islam@yahoogroups.com/msg17189.html

0 Comments:

Post a Comment

<< Home