Wednesday, November 04, 2009

Melangkahlah!

Hidup. Kaki melangkah. Tanpa henti. Sampai,, nafas berhenti...

Kita tidak pernah tahu, di mana kita nanti. Jangan cuba ingin mencari, kerana jawapan yang tepat itu, tidak akan kita ketemui hanya dengan berfikir dan merancang tentangnya.

Hidup. Kaki akan terus melangkah.

Melangkah. Walau sederap. Walau satu permulaan. Adalah satu bentuk jawapan dalam jawapan.

Dalam melangkah, ambillah yang indah.

Dalam melangkah, kita akan bertemu batu, emas, perak, kaca, berlian. Pilihlah, mengikut keperluan. Jika kita bijak, kita pasti akan memilih sesuatu yang sebenarnya paling mahal, paling berkualiti, paling indah, paling bernilai.

Namun untuk mengetahui dan menyedari dengan sepenuhnya, apa sebenarnya, yang paling mahal, paling berkualiti, paling indah, dan paling bernilai, ia juga...memerlukan langkah..

Kita kadangkala menyoal, mengapa ini yang aku kejar? Sedang ini hanya sia-sia, mengapa tidak dari dulu aku mengetahui yang benar?

Tidak perlu menyoal begitu, kerna ia sesungguhnya, sudah berlalu.

Yang patut dilakukan, bersyukurlah, Allah telah membuka satu hijab buat kita insan, untuk memahami secebis lagi makna kehidupan. Secebis makna yang muncul dari yang disebut pengalaman.

Dalam pengalaman, mungkin ia penuh dengan kesalahan, mungkin ia penuh dengan ketidaksyukuran, mungkin jua ia penuh dengan kejahilan dan kejahiliahan. Sekali lagi, ingatlah, ia sudah berlalu. Yang berlalu, tetap berlalu.

Dalam pengalaman, mungkin ia penuh dengan usaha tulus murni, penuh dengan kesabaran meniti, penuh dengan kejujuran dari penuh hati, namun, hanya keberantakan terisi. Sekali lagi, ingatlah, ia sudah berlalu. Yang berlalu, tetap berlalu.

Samada ia baik, atau penuh dengan kesalahan, ia sudah berlalu.

Pengalaman, yang kita lihat darinya, sebagai satu perjalanan dalam melangkah mencari kebenaran. Ia satu cerita benar, yang diceritakan, yang digembar gemburkan dari zaman berzaman, dan kini, kita melihat ia sendiri, berlaku dalam kehidupan sendiri.

Sekali lagi, bersyukurlah pada Ilahi, kerna ia membuka lagi kesempatan untuk kita terus memahami makna kehidupan. Cerita kehidupan yang mulus, lagi telus yang diceritakan dalam kitab suci kita Al-Quran. Ia satu kebenaran, yang membuktikan, kebenaran cerita Tuhan. Sekali lagi, kita mendapat jawapan dalam mencari jawapan melalui langkahan.

Dalam melangkah, teluslah dalam berniat mencari kebenaran dan menghayati keindahan. Janganlah berjiwa seperti anak kecil yang ingin membuktikan diri kepada persekitaran. Kita sudah cukup dewasa untuk menjalani kehidupan dengan penuh kematangan.

Yang dikatakan anak kecil itu, ia suka pada perhatian. Dia suka pada permainan, dia suka tika orang lain melayannya, bermain bersamanya. Takkala dicuit ia mudah melatah, takkala dimarah, ia mudah menangis. Jika perhatian tak diberi, dia mudah merajuk. Tak cukup perhatian tak diberi, perhatianlah yang dinanti, sanggup membuat apa saja, untuk mendapat perhatian manusia kehendak duniawi.

Persekitaran kita berubah, berubah dan berubah. Namun di mana saja kita berada, yang baik, yang kotor, yang jelik, yang cantik, yang tidak ketahuan dan juga jemuan, pasti kita ketemukan. Walau di mana saja kita berlari dan ingin pergi, percayalah, kita akan kembali untuk menemui insan-insan sebegini.

Dunia ini berevolusi, kehendaknya semakin bermacam, kemahuannya semakin pelbagai. Jika persekitaran yang ingin kita penuhi, jadilah kita insan yang keliru persepsi. Tak ada insan yang mampu kita penuhi kehendaknya, yang mampu kita penuhi perangainya. Walau sedaya mana kita, kerna, insan itu tidak statik, ia jua akan berevolusi, dengan kepelbagaian kemahuan dan kehendaknya yang tersendiri.

Jika persekitaran dan insan-insan yang ingin kita penuhi, jadilah kita insan penat dalam lelah. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Namun jangan pula hidup bersendiri, pandangan orang tak dipeduli, hanya pandangan sendiri yang ingin dikatakan berbudi. Orang lain makin dicaci , hanya kita yang benar dalam segala macam dan segi. Kelemahan diri mahu ditutup rapi, kelemahan orang dijaja ke sana kemari. Kelebihan diri dijaja semacam kita yang raja. Kelebihan orang lain, habis dicerumbui, dan hanya ingin mencari jalan memperlekeh sahaja.

Jika jalan hidup sebegini yang menjadi cita, jadilah kita, insan bodoh lagi sombong yang tidak terkata. Ketakutan penuh dalam diri, namun diluar sangat berlagak berani. Jadilah kita, musuh kepada bayang kita sendiri. Sudahlah hidup bersendiri, dikejar hantu pula, yang jua bayang sendiri. Alangkah rugi!

Ingatlah diri, sebagaimana dunia ini berevolusi, Al-Quran itu ada untuk sentiasa kita mengkoreksi diri, dan memahami penceritaan dari Allah Yang Abadi. Pencipta itu tahu, kitab itu sesuai sebagai panduan untuk sepanjang zaman.

Duduklah selalu, dengan persekitaranmu. Tanpa membenci, namun memahami. Pengalaman-pengalaman yang terabadi, lihatlah sebagai satu karya berharga, kurniaan Allah, supaya hambaNya, memahami benar penceritaanNya tentang dunia yang fana. Allah membenarkan diri kita mengenali, dan memahami, tentang kebenaran dan kekuasaanNya, melalui pengalaman itu sendiri. Dari mengenali, dan memahami, akan wujud mencintai. Bukankah itu yang kita inginkan? Bukankah itu yang selalu kita doakan? “Ya Allah, izinkan aku mencintaimu...tumbuhkanlah rasa cintaku padaMu, dan cintailah aku. ”

Allah itu dekat, dan selalu memakbulkan doa kita. Sekali lagi bersyukurlah, kerna Allah, telah memberi kita satu peluang yang sangat dicita. MENCINTAINYA.

Jadikanlah Allah tujuan hidup kita. Biar di mana saja kita dituju hala, hanya kehendak Allah yang paling utama. Maka, jadilah kita, insan paling selamat, walau bagaimana dunia ini berevolusi, walau seperti mana, persekitaran yang datang menghinggapi.

Janganlah bentak dalam lali, menjadi insan yang berlari dari berfikir. Berlari kepada hiburan yang mengilai gusi, berlari yang kononnya untuk mententeramkan diri. Tenteram itu dari damai di sisi, malaikat di sisi. Bukan bersama musuhmu yang diciptakan dari api. Jika yang lali itu dianggap hiburan, sungguh, sucikanlah diri wahai diriku. Engkau telah terjebak dalam lakonan2 para-para musuh adam.

Berfikirlah, berfikirlah, kerana ia anjuran, berkoyan-koyan ayat Al-Quran, kitab agung untuk semua zaman itu berpesan, ‘bagi orang-orang yang berfikir’. Hayatilah nikmat akal yang hanya dikurniakan buat manusia dari Tuhan!

Namun dalam berfikir, insaflah wahai diriku. Allah Maha Tahu, engkau tidak. Allah Maha Bijak, engkau jauh dari situ. Jangan menggapai terlalu jauh, untuk mencari makna yang terlampau sukar untuk pemahamanmu. Teruskanlah melangkah, kerna akan tiba masanya, untuk kita fahami lagi, erti jawapan dalam jawapan itu.

Allah akan memberi cukup pemahaman buat kita, untuk kita terus melangkah sambil menerapkan ilmu yang ada ketika itu. Ia cukup, kerna Allah telah menilai, telah menimbang, antara berat dan ringan. Ia ujian, yang sudah ada jawapan. Ia soalan, yang sudah disiapkan skemanya. Allah turunkan, buat kita, untuk melaluinya dalam langkahan kita. Penyelesaiannya sudah tersedia sayang...penyelesaianya dan hasilnya yang dari Allah itu, sudah ada disisiNya.

Disamping usaha, kita ada bekalan tawakal dan doa. Itulah nikmat, yang agung, bagi insan Islam. Kita ada tawakal dan doa. Suatu yang kita tidak dapat lihat dari mata kasar. Suatu yang perlukan keyakinan yang mantap dan abadi. Keyakinan, dan kemantapan yang akan terus bertambah yang akan kita perolehi, kesan dari keberanian dalam melakukan langkahan yang berani, menepis ketakutan yang menyisipi.

Teruskanlah melangkah wahai insan. Wujudkanlah langkahan, setakat mana penafsiran yang tepat, sesuai dengan ilmu dan sikap kita ketika itu. Jangan ditoleh lagi, kerana yang berlalu tetap berlalu. Jangan direnung lagi.

Masa lalu, tutuplah ia serapat mungkin. Lupakanlah kisah, kerana hikmah telah disingkap sudah! Ia sudah terlukis, indah di situ. Ia sudah ditenun, dan menanti untuk ditenun lagi.

Masa depan, rancanglah wahai diriku. Namun, berpeganglah pada kata-kata yang telah kita bincangkan itu. Walau sebijak mana diri kita sekarang, di masa depan, kita menjadi bertambah bijak dalam memahami makna kehidupan, pabila ditoleh, diri kita yang lalu, tidaklah sebijak hari ini.

Kebijakan itu, pencarian hikmah itu, hanya akan berlangsung, dengan yang dikatakan langkahan.

Hari ini, manfaatkanlah, seolah-olah, hanya ada hari ini untuk hidup ini. Setakat mana ilmu kita, setakat mana kebaikan sikap kita, setakat mana keburukan kita, yang sangat cuba dihapuskan itu, terimalah dengan seadanya. Walau seburuk mana kita hari ini, inilah kita, yang berperanan sebagai khalifah di bumi. Title itu takan pernah hilang, kerana itulah kewajipan.

Walau seburuk mana kita, title itu tidak pernah hilang! Ia untuk mengingatkan kita, walau sebagaimana hancurnya kita disisi manusia ketika ini, kita tetap khalifah di bumi. Title yang Allah suburkan dalam kehidupan kita, supaya ia lekat kekal dalam pemikiran kita.

Khalifah itu, bertanggungjawab orangnya, berhati besar hatinya, tulus mulus peribadinya, ikhlas, jujur dan sabar mengisi hidupnya. Biar dirimu di saat hancur, ingatlah, itulah pangkat yang Allah tetap beri, supaya kita sentiasa mengingati, walau sebagaimana hancur hari ini, esok ada untuk berusaha lagi, untuk melengkapkan satu misi.

Biar bederai, hancur berkecai, habis kusut masai, segala yang dicita, bukan pemikiran itu yang patut dilekatkan di sisi otak dan akalmu. Allah tak pernah menyuruh kita mengambil hikmah ke situ. Berjiwa besarlah, wahai diri-diri insan, dalam menempah satu episod yang dikatakan kehidupan.

Melangkahlah!

Jika ada tangisan membawa persoalan, seolah yang tiada memahami, seolah yang tiada sesuai untuk bicara hati, bergembiralah diriku, kerna ia masa kita meluangkan masa bersama kekasih kita Tuhan yang Esa, bicaralah sepuasnya! Menangislah sepenuhnya!

Jika bahan bacaanmu terus habis tak membawa kedamaian, bergembiralah diriku, kerna ia masa kita meluangkan masa bersama sahabat terbaik kita, iaitu Al-Quran. Al-Quran yang Allah bekalkan untuk kita sepanjang perjalanan. Pohonlah ilham sesungguhnya dari Allah, untuk memahami, dan mendapat kedamaian hati, akal dan fikiran!

Jika seolah tiada insan, yang ingin dijadikan pedoman, bergembiralah diriku, kerna ia masa untuk kita meluangkan masa, menggali peribadi Rasulmu, yang peribadinya indah, paling indah, walau zaman tetap berubah, dan terus akan berubah, Muhammad tetap akan kekal, nombor satu, sebagai yang paling indah, dalam semua keindahan!

Apa lagi bekal yang kau nantikan wahai insan? Semuanya sudah cukup tersedia dalam keindahan.

Melangkahlah, berhenti hanya pabila nafasmu terhenti!


0 Comments:

Post a Comment

<< Home