Thursday, November 05, 2009

Antara Akal dan Hawa

Akal dan Hawa, dua kekuatan yang bertempur di dalam diri kita. Ahli Tasawuf biasa mempertalikan antara hawa dengan nafsu. Tetapi setelah diperdalam, lebih sesuailah nama hawa itu daripada nama nafsu. Sebab tiada semuanya nafsu itu tercela. Ada nafsu yang dinamakan "Nafsul Muthamainnah", nafsu yang tenteram. Ada yang dinamakan: "Nafsu Lawwamah" dan ada "Nafsu Ammarah", inilah yang dipertalikan dengan hawa itu.

Akal selalu menimbang antara buruk dan baik, lalu memilih mana yang baik. Sedang hawa atau nafsu, yang jahatlah yang dipilihnya. Akal selalu mengikat dan menahan, sedang hawa nafsu selalu ingin lepas. Akal membatas kemerdekaan, hawa nafsu ingin merdeka di dalam segala perkara.

Hawa nafsu lebih suka kepada perkara yang mulanya enak walaupun akibatnya kecelakaan. Tidak ubahnya dengan anak kecil yang lebih suka memakan gula-gula walaupun dilarang. Padahal kalau terlalu banyak makan gula-gula, dapat merosakkan kesihatanya.

Akal memikirkan kesukaannya dan kesukaan orang lain, timbang dan rasa. Tetapi hawa nafsu hanya memikirkan yang enak untuk dia sahaja.

Orang yang berakal selalu menyelidiki pendapatnya di dalam suatu perkara yang enak kata nafsunya. Kata Hukama: "Kalau engkau ragu menghadapi suatu perkara, hendaklah dengarkan suara hawa nafsumu. Kalau hawa nafsu suka ke sana, alamat perkara itu tiada baik engkau tempuh. Tetapi kalau hawa nafsu kurang mahu, tetapi baik kata akal alamat itulah yang baik engkau kerjakan".

Akal itu lekas insaf kalau tersesat kepada suatu kesalahan terhadap Allah (S.W.T). Mahu dia bertaubat: tetapi nafsu menghalangi. Kalau bersalah kepada sesama manusia, akal tiada berkeberatan meminta maaf, tetapi hawa nafsu menahan.

Akal memutuskan suatu perkara dengan alasan. Tetapi hawa nafsu dengan syahwat.

Kalau terjadi pertandingan antara akal dengan hawa nafsu, kedua-duanya sama-sama ada pembantu. Akal dibantu oleh Nur Allah (S.W.T), oleh hidayah Tuhan, dan nafsu dibantu oleh fitnah syaitan, oleh gelap iblis. Itulah sebabnya maka orang yang menuruti suara hawa nafsu menjadi engkar.
Dipetik dari sebahagian bab Akal dan Hawa,
Prof Dr.Hamka, dalam bukunya Falsafah Hidup.



Beruntungnya diri,
Andaikata,
Setiap dari kata-kata,
Setiap dari keputusan,
Hasil keberkatan Ilahi,
Yang diberi ketetapan di hati...

Akal mencurah idea kebaikan,
Nafsu mencurah idea kejahatan,
Namun jika kejahatan sudah menguasai diri,
Tak sedar lagi itu nafsu yang sering berkata-kata,
Segalanya sudah biasa, lagi biasa.

Namun kerajaan akal itu,
Masih di situ,
Menanti hari,
Untuk berkuasa semula,
Berilah ia peluang,
Dengan menambah amal menajam akal,
Memohon pentunjuk dari Ilahi.

Kerajaan nafsu,
Ku harap kau tetap di situ,
Kerna kau sebahagian dari diriku,
Namun duduklah kau tanpa kuasa...
Kami berharap Allah,
Mengurniakan kami ilham,
Untuk byk melakukan amalan,
Yang dapat melemahkan tentera-tenteramu,
Dengan itu lemahlah kerajaanmu,
Lalu tak dapat lagi bersuara menguasai diri....

Setiap hari,
Kami bertempur,
Pertempuran yang lebih hebat dari perang segala perang,
Untuk memastikan,
Diri ini, dikuasai kerajaan yang sepatutnya...

Biarlah sulit,
Biarlah perlahan,
Itu tetap nasihat pada diri kami,
Dalam meniti,
Sepenuh kebaikan pada diri....
Demi menjadi hamba Allah yang sejati...

0 Comments:

Post a Comment

<< Home